TAWAU : Swasta bersama badan bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan bagi membantu menaikkan semangat patriotik rakyat dengan melaksanakan program kemerdekaan setiap tahun di negeri ini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, setiap rakyat mempunyai rasa kecintaan kepada negara dan menghargai nikmat kemerdekaan.
Katanya, merdeka daripada penjajahan adalah satu nikmat yang perlu disyukuri setiap rakyat kerana ia lahir daripada titisan keringat dan darah pejuang kemerdekaan terdahulu.
“Semua pihak perlu memainkan peranan untuk melaksanakan pelbagai program yang berunsurkan patriotik sebagai tanda kecintaan dan kesyukuran kita kepada nikmat kemerdekaan ini.
“Mereka yang mempunyai kemampuan diminta supaya bersama kerajaan menganjurkan pelbagai program dalam usaha meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat,” katanya di sini semalam.
Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, tahun ini adalah sangat istimewa kerana seluruh rakyat di negeri ini dapat meraikan sambutan berganda iaitu Hari Kebangsaan dan Hari Sabah secara serentak.
“Hari Sabah julung kali diadakan bagi memberi kesedaran bahawa sebenarnya negeri kita telah bebas daripada penjajahan sejak 31 Ogos 1963 lalu.
“Pewartaan Hari Sabah ini adalah atas inisiatif kerajaan negeri yang mahukan semua rakyat di sini sentiasa mengingati tarikh keramat kemerdekaan rakyat Sabah,” jelas Nizam.
