PENAMPANG : Guru besar memainkan peranan amat penting dalam memastikan kejayaan transformasi pendidikan digital sekolah di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, guru besar adalah pemimpin membawa perubahan, memberi inspirasi dan bimbingan kepada guru-guru serta pelajar-pelajar di sekolah masing- masing.
Katanya, adalah penting kepada guru besar untuk terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknologi pendidikan.
“Kerajaan negeri komited untuk menyokong pelbagai inisiatif dan program yang bertujuan meningkatkan infrastruktur digital di sekolah-sekolah.
“Era digital telah membawa perubahan dalam setiap aspek kehidupan kita, termasuk dalam bidang pendidikan,” katanya.
Hajiji berkata, adalah menjadi tanggungjawab untuk memastikan bahawa sistem pendidikan turut beradaptasi dengan perubahan ini.
“Pendidikan digital bukan sahaja sekadar penggunaan alat teknologi dalam proses pengurusan, pengajaran dan pembelajaran.
“Pendidikan digital adalah penting untuk kita membudayakan penggunaan teknologi sebagai bahan interaktif untuk meningkatkan kualiti pembelajaran, memupuk pemikiran kritis, dan melahirkan generasi yang inovatif dan kreatif,” jelas Hajiji.
Menurutnya, aspek kualiti dan kecemerlangan pendidikan harus menjadi fokus utama dalam setiap program mendidik pelajar.
“Pendidikan berkualiti bukan saja mampu melahirkan modal insan yang unggul dan berkemahiran, malah akan menyediakan aset pembangunan sosial yang dinamik dan berdaya saing, kata Hajiji.
