Kerajaan fokus memperkasakan belia di Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai program menjurus kepada kesejahteraan ekonomi belia membabitkan latihan serta kemahiran bagi memperkasa mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, agenda pembangunan modal insan khususnya golongan muda dan belia akan terus diberi penekanan dalam usaha untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, berkemahiran dan berminda kelas pertama.

Katanya, beliau mengajak semua pihak untuk terus bekerjasama dalam usaha memperkasakan belia di negeri ini.

“Semua pihak baik kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat perlu berganding bahu untuk mencipta peluang dan menyediakan sokongan yang diperlukan oleh belia”, katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin.

Menurut Hajiji belia adalah generasi masa depan yang akan meneruskan legasi pembangunan negeri, agen perubahan, inovator, dan pemimpin masa hadapan.

“Adalah penting untuk kita memberikan mereka platform yang sesuai untuk berkembang dan memberi sumbangan.

“Dengan sokongan yang tepat, belia dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan ekonomi, sosial, dan budaya negeri kita,” jelas Hajiji.

Menurutnya, Sabah mengalami pelbagai pencapaian dalam pembangunan belia termasuk program latihan kemahiran, inisiatif keusahawanan, dan aktiviti sosial telah memberikan impak positif kepada ramai belia negeri ini.