Kastam rampas 20 kilogram syabu berselindung bungkusan plastik jenama ‘Guanyinwang’ di Airport Tawau, Kota Kinabalu

KOTA KINABALU : Seorang remaja bersama dua lelaki ditahan bersama lebih 20 kilogram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM667,729.44, pada 30 Julai lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Sabah, Siti Mang berkata, kedua-dua suspek merupakan warga tempatan berusia 18 dan 29 tahun ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ketika masuk ke negeri ini secara berasingan.

Katanya, kegiatan menyeludup masuk dadah berkenaan berjaya dikesan ketika cuba melepasi pemeriksaan di dua lapangan terbang sebaik tiba dari Semenanjung Malaysia.

“Suspek pertama ditahan pada jam 12.30 tengah hari di Lapangan Terbang Tawau. Hasil imbasan imej terhadap beg suspek, pihaknya mengesan 10 bungkusan plastik hijau kuning jenama ‘Guangyiwang’ yang mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, semua bungkusan berkenaan berisi 10.199 gram dadah berbahaya yang dianggarkan bernilai RM326,389. Suspek terus ditahan bersama dadah berkenaan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya dalam sidang media hari ini.

Siti berkata, bertindak atas maklumat, suspek kedua berjaya ditahan kira-kira jam 1 petang ketika cuba melepasi pemeriksaan mesin imbasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

“Pemeriksaan mendapati suspek membawa bagasi berisi 10 bungkusan mengandungi dadah seberat keseluruhan 10.194 gram.

“Suspek membabitkan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti sama ada mempunyai hubung kait dengan suspek pertama,” jelas Siti.

Menurutnya, modus operandi bagi kes ini adalah menggunakan bungkusan plastik warna hijau jenama ‘Guanyinwang’ yang diseludup masuk ke dalam negara melalui kapal penumpang.

“Kedua-dua kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan,” katanya.