KOTA BELUD : Program Smart Sawah Bersekala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan diperluaskan ke Kg Kesapang Tengah, Kota Belud, meliputi lebih 175 hektar kawasan tanaman.
Program ini diselia Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) sebahagian daripada komitmen kolektif bagi memajukan agenda keterjaminan makanan negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Program ini mengoptimumkan penggunaan tanah serta mengamalkan amalan pertanian baik untuk meningkatkan pengeluaran beras domestik seperti di Sekinchan, Selangor terbukti berjaya.
“Kejayaan program SMART SBB Ala Sekinchan BERNAS membuktikan komitmen Kementerian dalam mencapai matlamat pengeluaran beras tempatan di Sabah.
“Ini bagi memastikan keterjaminan bekalan makanan negara, terutamanya dalam subsektor beras, sentiasa mencukupi dan mampan untuk keperluan rakyat di negara ini,” katanya.
Mohamad Sabu berkata, melalui program ini, BERNAS mengumumkan penambahan empat mesin baharu untuk digunakan peserta SMART SBB Kota Belud.
“Usaha ini adalah untuk meningkatkan pengeluaran padi melalui teknologi mekanisasi ladang terkini.
“Ini menjadikan sumbangan keseluruhan syarikat kepada sembilan mesin dan dua set peralatan pertanian bernilai RM1 juta,” jelas Mohamad Sabu.
Menurutnya, inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan serta meningkatkan tahap saradiri beras (SSL) di Sabah.
“Disamping itu untuk memperkasakan petani dengan pengetahuan serta penggunaan teknologi yang mampu memaksimumkan hasil tanaman padi dan pendapatan petani,” kata Mohamad Sabu.
