Sabah mempunyai 1,127 masjid, tertinggi di Malaysia

TAWAU :  Sabah mempunyai sebanyak 1,127 masjid, yang tertinggi di Malaysia, disamping memiliki sebanyak 1,221 surau di seluruh negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, mengikut rekod di Tawau sahaja terdapat 133 masjid dengan 103 surau, berada ditempat kedua selepas Semporna yang mempunyai sebanyak 246 masjid dan surau.

Katanya, walaupun Islam merupakan agama rasmi negara ini, namun rakyat bukan beragama Islam bebas mengamalkan kepercayaan agama masing-masing.

“Bukan bererti kalau kita mempunyai bilangan masjid yang banyak untuk beribadah, ia sesuatu yang boleh merenggangkan keharmonian dan perpaduan di antara kaum dan juga kepercayaan di negeri Sabah amnya dan negara kita khasnya.

“Kita mesti menjadi umat Islam yang berdisiplin, mempunyai moral yang cintakan keadilan, perpaduan dan kemajuan. Ini mesti diterapkan pada diri umat Islam, supaya imej agama Islam berada di tempat yang sewajarnya.

“Jangan kita jadikan agama ini sebagai sesuatu yang boleh merosakkan hubungan ataupun tanggapan yang negatif daripada kaum-kaum lain yang bukan beragama Islam”, katanya.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM3 juta sebagai permulaan untuk pembinaan masjid itu bagi menampung kemudahan yang tidak mencukupi di kawasan itu yang mempunyai kira-kira 10,000 penduduk.

“Kita berharap agar Masjid Ar-Rahman, Bandar Sri Indah, Tawau yang bakal dibina itu akan menjadi masjid paling aktif dan berdaya saing sejajar dengan masjid-masjid sedia ada di daerah Tawau, khususnya dari segi aktiviti keagamaan, kemasyarakatan dan juga perekonomian.

“Saya berharap kerja-kerja pembinaan dapat segera dimulakan bagi memastikan masjid baru ini siap dibina sebagaimana yang dirancang dalam waktu yang telah ditetapkan,” jelas Hajiji.

Menurutnya, masjid merupakan rumah ibadah umat Islam yang mulia serta mempunyai peranannya dalam kehidupan umat Islam penting serta berkait rapat dengan perihal keimanan dan ketaqwaan terhadap Allah SWT, pencipta seluruh alam.

“Pembinaan sesebuah masjid atau surau dalam agama adalah sangat dituntut, lebih-lebih lagi di kawasan yang mempunyai penduduk yang beragama Islam.

“Dalam konteks Malaysia, masjid merupakan sebuah institusi yang menjadi nadi kepada aktiviti masyarakat Islam, sama ada di dalam sesebuah kampung atau pun pekan dan juga bandar.

“Ia tidak lagi dilihat sebagai rumah ibadah semata-mata, tetapi juga sebagai pusat kemasyarakatan, keilmuan, termasuk pelbagai aktiviti sosial yang berkaitan dengan kemajuan dan pembangunan ummah,” kata Hajiji.