Penyertaan rakyat terhadap Gagasan Rakyat bukti semakin diterima baik rakyat – Dr Yusof

SIPITANG: Penyertaan rakyat terhadap Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) membuktikan parti itu semakin diterima baik dan diyakini dapat memperjuangkan aspirasi rakyat.

Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Sindumin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, rakyat di negeri ini tentunya menginginkan Sabah untuk terus melakar pembangunan ke arah yang lebih cemerlang justeru semua lapisan masyarakat harus memberikan sokongan yang padu terhadap kerajaan yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Katanya, untuk mengangkat lagi ekonomi Sabah rakyat harus memberikan sokongan yang padu kepada kerajaan ketika ini bagi memastikan sokongan itu dapat diterjemah kearah kestabilan seterusnya membawa manfaat kepada ekonomi.

“Gagasan Rakyat perlu dokongan rakyat dan sudah tentu pucuk pimpinan dan pemimpin bahagian akan terus berjuang agar hasrat rakyat untuk melihat Sabah lebih cemerlang dan harmoni dapat dicapai.

“Berilah sokongan yang padu kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar Ketua Menteri terus komited berjuang membela kebajikan rakyat demi mengangkat kestabilan ekonomi, ” katanya dalam satu majlis penyertaan beramai-ramai penduduk Kampung Lubuk Darat Sianggou ke Gagasan Rakyat, semalam.

Penyerahan borang keahlian itu disampaikan Hamdan Bair kepada Yusof yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sindumin.

Dr Yusof berkata, penyertaan rakyat terhadap Gagasan Rakyat merupakan hasil daripada pendekatan pemimpin dan ahli yang komited turun padang menerangkan tentang isu-isu semasa dan terkini yang dilakukan kerajaan.

Beliau berkata, ahli dan pimpinan bahagian meneruskannya usaha memastikan rakyat mendapat penerangan yang sahih dan tepat terutama dalam soal pembangunan serta yang meliputi aspek kebajikan rakyat.
.