Kerajaan komited membudayakan pembelajaran sepanjang hayat – Nizam

TAWAU : Kerajaan negeri komited  untuk membudayakan pembelajaran sepanjang hayat bersesuaian hasrat serta objektif Minggu Latihan Kebangsaan di negara ini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, setakat ini Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengadakan 10 lonjakan bagi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (PPPMPT).

Katanya, salah satu lonjakan penting bagi hala tuju Kolej Komuniti adalah adalah melalu tiga kaedah iaitu Menghayati Pembelajaran Sepanjang Hayat.

“NTW 2024 adalah platform terbaik untuk memperkenalkan inisiatif ini kepada rakyat khususnya di negeri ini.

“Lebih 500 program percuma ditawarkan sempena NTW 2024 ini termasuklah sesi latihan, bengkel, dan seminar dirancang khusus untuk meningkatkan pengetahuan rakyat Sabah,” katanya di sini hari ini.

Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, ia juga dapat menjadi tempat mempromosikan budaya pembelajaran sepanjang hayat, disamping menggalakan rakyat memperbaharui serta meningkatkan kemahiran mereka.

“Dengan adanya program latihan yang komprehensif dan inklusif yang ditawarkan di NTW, kita mampu melahirkan generasi pekerja yang mahir serta berdaya saing di peringkat global.

“Kolaborasi antara HRD Corp dan Kolej Komuniti Tawau dilihat satu langkah tepat bagi memberikan peluang kepada komuniti dalam mempelajari pelbagai kemahiran baharu,” jelas Nizam.

Menurutnya, kerajaan Sabah begitu  prihatin sekali gus sedang berusaha melahirkan masyarakat yang berkemahiran tinggi di negeri ini.

“Kerajaan negeri turut memperkasa serta memperkukuh pusat latihan untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja separa mahir, mahir dan berpengetahuan bagi memenuhi keperluan pelabur.

“Kolej Komuniti telah merangka satu pelaksanaan program melalui Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan HRD Corp,” tambah Nizam.