KOTA KINABALU : Yayasan Pengguna Negara Malaysia mengumumkan pelantikan David Chan sebagai Pengerusi negeri Sabah berkuatkuasa semalam.
Sebelum ini David Chan merupakan Presiden Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) kerana telah melantikan serta memberi kepercayaan penuh kepadanya untuk menerajui sebagai Pengerusi negeri Sabah YPNM yang baharu.
“YPNM didaftarkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Visi kami adalah untuk melindungi kepentingan hak-hak pengguna Sabah dan bekerjasama dengan semua jabatan agensi kerajaan negeri, persekutuan dan dan sektor swasta di Sabah.
“Kerjasama antara Sabah dan persekutuan adalah untuk menangani isu-isu kepenggunaan dalam memberi manfaat yang besar kepada pengguna-pengguna di negeri ini,”katanya dalam kenyataan media hari ini.
David berkata, selaku Pengerusi YPNM Sabah baharu, beliau menyokong penuh penstrukturan semula subsidi minyak diesel.
“Dalam masa sama, YPNM Sabah juga turut mengucapkan kasih kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Diri Malaysia, Datuk Armizan Mohd Ali dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meneruskan pemberian subsidi diesel untuk wilayah Sabah dan Sarawak.
“Landskap l Sabah yang begitu luas dengan jalan berbukit dan tidak menentu, terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
“Sudah tentu penggunaan minyak diesel yang banyak, termasuk bot-bot besar dan kecil untuk menghubungkan kawasan pedalaman Sabah,” jelas David.
Beliau meminta pihak berkuasa sentiasa memantau sebarang ketirisan minyak diesel bersubsidi yang diberikan kepada semua pengguna di Sabah supaya semua pengguna Sabah boleh menikmati pemberian subsidi daripada keprihatinan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meminta syarikat pengangkutan awam dan barangan yang layak tetapi belum memohon kelulusan subsidi diesel untuk segera berbuat demikian.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali turut meminta syarikat berkenaan yang telah memperoleh kelulusan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) tetapi belum menerima fleet card daripada syarikat minyak dikehendaki menyimpan resit pembelian bahan api.
