Penduduk mengeluh perkhidmatan kereta api Rayoh-Tenom belum dipulihkan hampir setahun

TENOM: Sudah hampir setahun perkhidmatan kereta api yang menghubungkan pekan Tenom dengan Kampung Rayoh, di sini, terhenti selepas dirosakkan kejadian banjir besar yang melimpahi tebing Sungai Padas pada 31 Oktober tahun lalu.

Sepanjang tempoh itu, penduduk kampung berkenaan tidak mendapat akses perkhidmatan kereta api dari Stesen Tenom memandangkan ketika ini kemudahan itu hanya boleh sampai di Stesen Pangi.

Bagaimanapun, sejak Jun lalu, penduduk Kampung Rayoh boleh ke pekan Beaufort menggunakan perkhidmatan kereta api yang bergerak dari Stesen Beaufort setelah laluan di antara Halogilat dan Rayoh dipulihkan.

Namun, bagi penduduk kampung berkenaan, jarak yang lebih jauh untuk ke pekan Beaufort berbanding ke pekan Tenom selain urusan harian mereka lebih tertumpu di pekan Tenom menyebabkan mereka lebih cenderung untuk ke Tenom berbanding Beaufort.

Sebagai alternatif, penduduk kampung berkenaan dilaporkan terpaksa menggunakan troli landasan buatan sendiri untuk ke pekan Tenom melalui landasan yang mengalami kerosakan di beberapa lokasi antara Rayoh dan Pangi.

Berikutan situasi itu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, semalam tampil memberikan penjelasan berhubung perkara sebenar yang berlaku terhadap perkhidmatan yang dikendalikan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) itu.

Katanya, kerosakan landasan yang menghubungkan Kampung Rayoh itu berpunca daripada banjir besar di kawasan pedalaman Sabah pada 31 Oktober 2022 yang menjejaskan landasan sepanjang 27 kilometer, di antara Halogilat dan Tenom.

Jelasnya, ketika itu laluan berkenaan baru siap dinaik taraf dengan peruntukan RM49.5 juta daripada Kementerian Pengangkutan, namun dimusnahkan banjir besar tidak lama selepas ia disiapkan.

Shahelmey berkata, ketika ini hanya laluan di antara Kampung Rayoh dan Pangi sepanjang 10 kilometer yang belum dipulihkan disebabkan kesan kerosakan yang berat termasuk dua jambatan yang memerlukan pembinaan semula.

“Kerajaan negeri, melalui kementerian saya dan JKNS tidak membiarkan sahaja keluhan dan kesusahan penduduk setempat yang terjejas dengan situasi itu.

“Kementerian Kerja Raya Sabah dan JKNS serta pihak kontraktor yang terbabit sudah melakukan kerja-kerja pembersihan dan pembaikpulihan minimal di sektor Tenom-Pangi sepanjang 11 kilometer dan operasi perkhidmatan kereta api menggunakan stok kereta api ringan di sektor ini dipulihkan pada 19 November 2022.

“Dengan itu, penduduk setempat di Pangi sudah dapat keluar dan masuk ke pekan Tenom untuk urusan harian mereka menggunakan perkhidmatan kereta api bermula tarikh berkenaan.

“Bagi sektor Halogilat ke Rayoh sepanjang sembilan kilometer yang mana terdapat kesan kerosakan

yang agak berat, laluan hanya dapat dipulihkan pada 21 Jun 2023.

“Dengan itu, penduduk setempat di Rayoh boleh berurusan ke Pekan Beaufort bermula tarikh berkenaan, manakala untuk sektor Pangi ke Rayoh sepanjang 10 kilometer, laluan ini belum dapat dipulihkan disebabkan kesan kerosakan yang lebih berat, termasuk kerosakan dua jambatan di sektor ini,” katanya.