KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan penglibatan pihak swasta untuk membantu dalam melaksanakan projek pembangunan di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, usaha ini beban mengurangkan bebanan kewangan manakala kerajaan menggunakan sumber kewangan sedia membiayai pembangunan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat.
Katanya, ia juga merupakan kaedah membantu agensi kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) dengan membuka peluang untuk melebarkan kepakaran dalam bidang pembangunan hartanah.
“Kerajaan negeri berusaha untuk memacu pembangunan negeri ke tahap yang lebih tinggi sejajar dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kita yakin kerjasama antara kerajaan negeri bersama LPPB dengan sokongan sektor swasta berupaya untuk melaksanakan pelbagai agenda pembangunan untuk kepentingan negeri dan rakyat,” katanya di sini semalam.
Joachim merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, pembangunan projek 88 Avenue ini akan menjadi tanda kebanggaan masyarakat sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.
“Ia sekali gus menjadi lambang kerjasama baik antara pihak kerajaan dan swasta dalam merealisasi pembangunan Sabah.
“Projel pembangunan bercampur ini melibatkan pembinaan apartment berkos tinggi dan mampu milik.
“Terdapat 5 Blok bangunan akan didirikan iaitu Apartment Blok A yang berketinggian 27 tingkat, mempunyai 432 unit rumah yang berkeluasan 1,238 kaki persegi yang dilengkapi 3 bilik tidur dan 3 bilik air,” jelas Joachim.
Menurutnya, Apartment Blok B1 mengandungi 162 unit rumah yang berkeluasan 1,238 kaki persegi dengan 3 bilik tidur dan 2 bilik mandi.
“Blok B2 merupakan apartment mampu milik yang mempunyai 243 unit; Service Suite Blok C akan dibina dengan ketinggian 26 tingkat dan mempunyai 333 unit rumah.
“Service Suite Blok D yang berketinggian 29 tingkat serta mempunyai 328 unit rumah,” kata Joachim.
