80 sukarelawan sertai Kempen Pembersihan Pantai dan pelepasan anak penyu

LABUAN: Seramai 80 sukarelawan pelajar dari tiga sekolah menengah di sini menyertai Kempen Pembersihan Pantai dan Perlepasan Anak Penyu di sekitar pantai Pulau Rusukan, dekat sini, pada Sabtu lepas.

Program  tersebut dianjurkan oleh Lions Club Mandarin Labuan dengan kerjasama Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Labuan, Tourism Malaysia dan Rusukan Besar Resort Sdn. Bhd serta diselaraskan oleh Jabatan Perikanan Labuan.

Menurut Presiden Lions Club  Mandarin Labuan, Chia Sia Theng  tiga buah sekolah yang terpilih untuk menyertai aktiviti itu ialah SMK Taman Perumahan Bedaun, SMK St. Anthony dan Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS).

“Program pembersihan pantai dan perlepasan anak penyu merupakan salah satu aktiviti Lions Club Mandarin sempena Hari Alam Sekitar Sedunia.

“Ia antara lain bertujuan untuk  memupuk kesedaran kepada pelajar terhadap  tidak membuang sampah ke laut seperti plastik yang menjadi antara pembunuh senyap penyu,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut.

Beliau berkata, sebanyak 85 ekor anak penyu jenis agar dan karah telah dilpeaskan ke laut oleh peserta  dengan dipantau oleh beberapa pegawai daripada Jabatan Perikanan Labuan.

Terdahulu, para peserta mendengar taklimat dan penerangan mengenai pemuliharaan anak penyu  di Pusat  Konservasi Penyu, Jabatan Perikanan Labuan oleh Ketua Pemuliharaan Penyu Ryanto Saifuddin.

Turut hadir, Pengerusi penganjur, Jessica Lee, Ketua Unit Pembangunan Industri Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Labuan Fanny John Sipawi dan Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan (Tourism Malaysia) Labuan Sharon Kenny.