BEAUFORT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melipatgandakan dan memperkasakan pemantauan untuk memastikan bekalan ayam mencukupi dan dijual dengan harga berpatutan khususnya di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Pemangku Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata sehubungan itu, kementerian telah menjalankan beberapa pendekatan serta-merta bagi memantau isu harga ayam susulan penamatan subsidi dan kawalan harga yang berkuat kuasa Rabu lepas.
“Langkah itu ialah meneruskan aspek pemantauan dan penguatkuasaan dengan mengguna pakai Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, selain mempertimbangkan penggunaan Akta Persaingan 2010 jika perlu. Seterusnya, kementerian akan melaksanakan mitigasi bersasar mengikut kawasan memandangkan ada tempat tertentu yang kita lihat mempunyai isu.
“Kementerian juga akan meneruskan program intervensi khususnya di kawasan yang terdapat isu penawaran harga ayam melebihi RM9.40 sekilogram yang pernah ditetapkan sebelum ini khususnya di Sabah, Sarawak dan Labuan yang sememangnya harga ayam lebih mahal dijual di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Jualan Rahmah (PJR) Sabah, Sarawak dan Labuan di Klias dekat sini hari ini.
Armizan berkata KPDN juga akan menambah jumlah pelaksanaan PJR di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi bulan ini dan Disember.
“KPDN akan memastikan penawaran bekalan ayam ditambah dengan harga jualan Rahmah pada kadar diskaun antara 10 hingga 30 peratus.
“Pendekatan ini diambil sebagai satu daripada strategi intervensi untuk membolehkan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana mendapat akses kepada bekalan jualan ayam pada harga yang berpatutan.
“Pelaksanaan pendekatan ini akan ditumpukan di kawasan-kawasan yang dilaporkan mempunyai isu penjualan harga yang agak tinggi di pasaran setempat. Pendekatan ini juga adalah sejajar dengan usaha untuk menangani sebarang isu berbangkit berkaitan kadar harga ayam,” katanya.
Beliau berkata penetapan harga kawalan sementara ayam super sebelum 1 Nov 2023 bagi negeri Sabah melibatkan dua harga iaitu RM12/kg bagi Pantai Barat dan RM12.30/kg di Pantai Timur.