KOTA KINABALU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan minyak diesel dalam satu operasi di sebuah stor tidak bernombor di Jalan Panglima Banting, Penampang di sini semalam.
Pengarahnya, Georgie Abas berkata, pihaknya menjalankan serbuan jam 4.30 petang menemui serta menyita sejumlah 7,380 liter minyak diesel dalam tangki ketika diproses di dalam sebuah van untuk dijual kepada industri.
Katanya, seorang lelaki merupakan rakyat tempatan dipercayai penjaga stor di lokasi serbuan turut ditahan untuk membantu siasatan sekali gus membabitkan nilai sitaan berjumlah RM57,067.00.
“KPDN Sabah menjalankan risikan dijalankan selama seminggu sebelum serbuan dijalankan. Siasatan awal mendapati premis stor tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan minyak diesel di lokasi tersebut.
“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 selepas disyaki memiliki barang kawalan minyak diesel apabila melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urusniaga barang kawalan tanpa lesen,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Georgie berkata, siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama selepas disyaki menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.
“Mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta. Bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” jelas Georgie.
Dalam perkembangan berkaitan, KPDN Sabah menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di Sabah agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui saluran WhatsApp iaitu 019-848 8000; Call Centre 1-800-886-800 dan melalui Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN,” tambah Georgie.