KUALA LUMPUR: Seramai 200 pelajar dari pelbagai Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Yayasan Bank Rakyat (YBR).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu, 187 penerima terdiri graduan ijazah sarjana muda manakala selebihnya merupakan graduan ijazah sarjana.
Katanya, ini merupakan satu sumbangan besar YBR terhadap institusi pendidikan ini sekali gus memartabatkan imej Pendidikan di negara ini.
“Kita berharap Yayasan Bank Rakyat terus melaksanakan program seumpama ini sebagai sokongan, galakan dan motivasi kepada pelajar untuk terus mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.
“Anugerah kecemerlangan akademik ini dilaksanakan sejak 2018 dan sehingga kini seramai 480 pelajar tajaan YBR memperoleh keputusan cemerlang PNGK 3.50 ke atas menerima anugerah ini. Jumlah keseluruhan peruntukkan disalurkan adalah sebanyak RM480,000,” katanya di sini, hari ini.
Ewon berkata, inisiatif Anugerah Kecemerlangan ini tercetus apabila anggota Bank Rakyat pada tahun 2017 mengusulkan YBR memperuntukkan satu peratus daripada sumbangan tahunan anggota untuk anugerah ini.
“Satu peratus sumbangan anggota berjumlah RM15 juta iaitu RM150,000 diperuntukkan bagi anugerah ini. YBR memperuntukkan sebanyak RM200,000 untuk Anugerah Kecemerlangan Akademik tahun lalu.
“Tahun ini merupakan tertinggi jumlah penerima berbanding tahun-tahun sebelumnya. seiring dengan trend permohonan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah meningkat secara drastic,”jelas Ewon.
Secara tidak langsung, ini menunjukkan YBR semakin mendapat perhatian masyarakat sekali gus lebih ramai mengharapkan bantuan daripadanya di masa depan.