SANDAKAN : Seramai 680 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina telah diusir keluar ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan (PATI) Siri 1 bagi tahun ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua tahanan PATI tersebut telah diusir pulang melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina, semalam.
Katanya, pecahanan tahanan yang terlibat termasuk 552 orang tahanan lelaki, 93 tahanan perempuan, 31 kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan empat kanak-kanak berumur 23 bulan ke bawah.
“Purata umur tahanan yang diusir kali ini adalah diantara 6 bulan hingga 75 tahun. Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu atau bapa atau penjaga masing-masing.
“Kesemua tahanan dihantar melalui jalan laut dengan menggunakan pengangkutan Vessel MV Antonia 1. Mereka adalah tahanan PATI dari Depot Imigresen Sandakan (551 orang) dan Depot Imigresen Tawau (129 orang).
“Sepanjang tahun lepas, seramai 8,678 orang tahanan telah dipindahkan ke negara asal melibatkan pengangkutan laut dan udara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, kesemua PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Jelasnya, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.
Beliau berkata jabatan ini akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta telah mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing.
