LABUAN: Seramai 500 murid sekolah rendah di pulau ini menyertai Kempen Kesedaran Keselamatan Murid-Murid Tahap 2 anjuran bersama Hibiscus Petroleum Berhad dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, semalam.
Kempen yang diadakan di Desa Tunas Hijau Kampung Sungai Miri dirasmikan oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) Hibiscus Petroleum Berhad Mohamed Farroukh Abd. Aziz.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan Yusop Mohamad dan Ketua Perhubungan Komuniti dan Kerajaan Hibiscus Petroleum Berhad Datuk Eddie Abdullah.
Mohamed Farroukh berkata syarikat Hibiscus Petroleum Berhad adalah sebuah syarikat yang mengendalikan operasi pengeluaran minyak dan gas sentiasa menitikberatkan tanggungjawab sosial dengan mengutamakan program yang mampu meningkatkan kualiti hidup berasaskan keselamatan.
Justeru itu, katanya, kempen kesedaran keselamatan yang melibatkan penyertaan murid sekolah merupakan salah satu objektif bagi memberi kesedaran dan pendedahan mengenai keselamatan yang boleh menjadi panduan untuk seumur hidup.
Beliau berkata kempen ini direka khas sebagai satu landasan untuk penyebaran mesej-mesej keselamatan yang tertumpu kepada isu-isu dan acaman keselamatan diri di dalam rumah, sekolah dan di persekitaran awam.