KOTA KINABALU: Kemerosotan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri lalu perlu diambil iktibar untuk memperkasakan parti.
Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kemerosotan sokongan semasa PRN baru-baru ini tidak boleh melemahkan semangat untuk terus memperkasakan parti.
“Kita tidak perlu terus berjuang tanpa terkesan dengan sentiman pihak lawan bahawa UMNO/BN itu semakin lemah” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah di sini, semalam.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah berkata kemerosotan sokongan kepada UMNO/BN itu memerlukan semua pihak mengambil dan memikul tanggungjawab bersama, tanpa menyalahkan atau mendesak Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakan jawatan.
“UMNO Sabah akan terus mendokong institusi kepimpinan khususnya kepada Presiden parti kerana kita melihat kemerosotan sokongan ini disebabkan banyak faktor kerana itu kita perlu melakukan “Post-Mortem ” bagi memperbaiki segala kelemahan dan tanggungjawab.
“Ini perlu dipikul bersama dari kepimpinan tertinggi parti kepimpinan negeri, bahagian dan cawangan kerana selepas ini kita akan berhadapan pula dengan PRN di Sabah dan PRU-16,” tegas beliau.
Pada masa sama, Bung Moktar merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada jentera BN dari Sabah yang bertungkus lumus berkempan semasa PRN baru-baru ini khususnya di Selangor.