KOTA KINABALU: Semua bahagian dan cawangan UMNO di negeri ini diminta agar melakukan perencanaan rapi bagi mengenal pasti dan mendekati pengundi muda 18 tahun di kawasan masing-masing yang kadarnya setiap hari akan bertambah.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pendaftaran secara automatik (PSSA) dikuatkuasakan bagi pengundi muda 18 pada Disember 2021 kepada warganegara yang layak serta mempunyai maklumat lengkap berdasarkan rekod di Jabatan Pendafataran Negara (JPN) akan didaftarkan tanpa perlu memohon kepada SPR.
“Golongan pengundi muda ini perlu kita ambil perhatian kerana golongan ini adalah segmen pengundi yang penting dan kritikal dalam menentukan kemenangan calon dan parti bertanding pada setiap pilihan raya,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah di sini, semalam.
Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata mengikut pecahan demografi pengundi baru menunjukkan hanya kira-kira 16 peratus dari 6.9 juta pengundi baru mewakili kumpulan umur 18-20 tahun.
“Mereka ini sudah tentu menjadi kumpulan utama yang menjadi sasaran beberapa parti pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Kemenangan gabungan utama parti politik di negara ini yang membabitkan blok Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) serta Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri di enam buah negeri baru-baru ini juga bergantung kepada pengundi muda” katanya
Bung Moktar juga menegaskan pengundi muda lebih terpengaruh dengan kempen melalui media sosial dan trend dalam politik walaupun tanpa literasi politik yang tepat, mereka mudah terpengaruh dengan kempen yang bersifat populis.
Justeru, katanya, terdapat keperluan daripada UMNO untuk memperhebatkan kempen bagi menggalakkan golongan muda ini terbabit dalam membuang undi semasa PRN atau PRU.
“Selain itu, kita juga perlu memberikan penjelasan kepada mereka agar keluar beramai-ramai mengundi semasa PRU atau PRN, ini kerana golongan muda ini biasanya memegang prinsip ideal dan tidak terikat dengan parti-parti politik, bukan seperti pengundi yang lebih veteran dari segi umurnya,” katanya
Selain itu Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah berkata pendekatan yang sesuai mengikut citra rasa golongan muda perlu dilaksanakan secara berkala bagi memastikan golongan ini mendapat maklumat yang jelas dan tepat berkenaan dasar dan perjuangan parti serta program kerajaan yang boleh mereka manafaatkan untuk meningkatkan taraf siso ekonomi.
“Apabila parti membuat pendekatan yang sesuai selari dengan citra rasa golongan muda ianya memberikan dorongan untuk mereka bersama-sama dalam perjuangan UMNO dan perencaaan rapi ini perlu diaktifkan oleh sayap-sayap parti terutama Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO disokong oleh bahagian dan cawangan” jelas Bung Moktar.