Sabah komited tingkatkan keluasan Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA) kepada 30 peratus pada 2025

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited untuk meningkatkan keluasan Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA) kepada 30 peratuas daripada keluasan negeri ini menjelang 2025.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata ketika ini keluasan TPA sudah mencapai lebih 27 peratus daripada kira-kira dua juta hektar keluasan tanah negeri ini.

Beliau berkata 75 peratus daripada TPA terbabit pula terletak di kawasan sempadan Jantung Borneo (Heart of Borneo – HOB).

“Sejajar dengan pelan pembangunan Kerajaan Negeri, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), kita komited untuk meluaskan lagi saiz TPA kepada 30 peratus daripada keluasan Sabah menjelang 2025,” katanya pada pelancaran Persidangan Antarabangsa HOB di Pusat Konvenayen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Hajiji berkata Kerajaan Negeri komited ke arah konservasi sumber semulajadinya menerusi kawasan yang dilindungi sejajar dengan objektif inisiatif HOB.

“Sejak pengisytiharan inisiatif HOB pada 2007, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Sabah membuat banyak kemajuan dalam aktiviti konservasi,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, satu pelan induk hutan untuk jangka masa 25 tahun akan datang sedang dirangka sebagai panduan hala tuju jangka panjang pengurusan sumber hutan negeri.

Katanya pelan induk itu yang diusahakan Jabatan Perhutanan Sabah selari dengan Dasar Hutan Sabah 2018 yang bukan hanya memfokuskan hutan simpan tetapi juga hutan di kawasan tanah kerajaan negeri dan tanah yang diasingkan untuk tujuan tertentu.

Beliau berkata Jabatan Perhutanan mengambil pelbagai pendekatan proaktif untuk melindungi hutan Sabah, termasuk melalui konsep Pengurusan Hutan Mapan (SFM) yang dilaksanakan sejak 1997.

“Usaha mapan dalam mewujudkan pembangunan sosio ekonomi dan konservasi alam sekitar yang seimbang melalui rasionalisasi penggunaan tanah perlu terus dilaksanakan sebagai satu alternatif baharu selain menjana pendapatan mapan untuk Sabah.

“Ini termasuk meneroka pelbagai inisiatif yang dapat menyokong program konservasi hutan melalui pendapatan bukan berasaskan balak,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim atas sokongan kuat terhadap inisiatif HOB.

Sejak 2009, katanya sebanyak RM48 juta diagihkan ke negeri ini untuk pelaksanaan inisiatif HOB, dengan RM13 juta daripadanya dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).