50 usahawan Asnaf Labuan terpilih terima dana Wakalah PPZ-MAIWP, Bank Rakyat

LABUAN : Seramai 50 usahawan asnaf di pulau ini menerima dana Asnafpreneur Bank Rakyat 2.0 sebanyak RM5,000 seorang membabitkan sumbangan keseluruhan bernilai RM250,000.

Kesemua mereka menerima sumbangan itu menerusi Pelancaran Projek itu anjuran Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam (PPZ-MAIWP) bersama Bank Rakyat dan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) yang dilancarkan di sini, semalam.

Ketua Wilayah Sabah Bank Kerjasama Rakyat Malaysia, Md Azmi Mohd Taib berkata, penganjuran projek ini adalah lanjutan daripada inisiatif tiga intitusi berkenaan dalam membantu usahawan asnaf berpotensi di pulau ini bagi memantapkan kemahiran keusahawan dan mengembangkan lagi perniagaan sedia ada mereka.

“Selain itu Projek ini mencerminkan komitmen berterusan Bank Rakyat membantu masyarakat yang progresif melalui inisiatif pembangunan pemerkasaan usahawan serta meningkatkan status komuniti asnaf demi kesejahteraan dan kemakmuran ekonomi masyarakat Madani,” katanya.

Jelas beliau, usahawan ini juga akan dibimbing menerusi sistem coaching dan monitoring oleh UMSKAL secara berskala dalam tempoh enam bulan bagi mengukuhkan kebolehan berniaga peserta.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWPbDatuk Abdul Halim Amir Osman, Pengarah UMSKAL Prof Madya Dr Mohamad Rizal Abdul Hamid, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa (FKAL) Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal dan Timbalan Pengurus MAIWP Labuan Mohd Radzaleih Matusin.