31 C
Kota Kinabalu
Sunday, May 22, 2022

4,000 penduduk terputus hubungan ekoran jambatan runtuh di Kota Belud

KOTA BELUD: Kira-kira 4,000 penduduk lima kampung sekitar sini terputus hubungan setelah laluan di jambatan yang menghubungkan kampung berkenaan dengan kawasan luar, runtuh petang semalam susulan hujan lebat berterusan pada Isnin lepas.

Lima kampung berkenaan terdiri daripada Kampung Nahaba, Talungan, Terintidon, Tegudon, dan Kampung Sayap.

Seorang petani dari Kampung Sayap, Sinim Embom, 58, berkata pada mulanya beliau sekeluarga merancang untuk membeli barangan untuk majlis perkahwinan saudara mereka, namun bencana itu menimbulkan pelbagai kesukaran untuk keluarganya.

“Kami terpaksa menunda majlis. Keadaan ini juga memberi kesulitan kepada penduduk kampung kerana laluan itu merupakan laluan utama kami ke pekan. Kesulitan itu sangat dirasai lebih-lebih lagi petani seperti saya yang harus mengangkut hasil pertanian ke pekan setiap hari,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Semalam Bernama melaporkan Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan memberitahu Kilometer (KM) 4.3 di Jalan Sayap, Kota Belud ditutup kerana terdapat kerosakan pada laluan jambatan susulan hujan lebat berterusan, dan tiada jalan alternatif untuk pengguna jalan itu.

Seorang peniaga di Kampung Talungan, James Taiman, 69, pula berkata kejadian pada pukul 2 petang itu benar-benar menyukarkan kehidupan kira-kira 4,000 penduduk.

Sementara itu seorang penduduk kampung dari Kampung Nahaba, Serupi Lambang, 46, berkata beliau sangat berharap agar pihak berwajib dapat membina jambatan konkrit dengan segera.

“Tolong bina sebuah jambatan konkrit yang baik untuk keselesaan penduduk di sini. Jambatan yang runtuh ini sudah terlalu usang dan sepatutnya diganti lama dahulu sebab jambatan ini sangat penting memandangkan penduduk kampung tidak mempunyai jalan hubungan yang lain untuk ke bandar,” katanya.

Sementara itu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memberitahu satu pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir ditutup petang ini iaitu PPS Dewan Terbuka Kampung Saga di Tenom.

Lima lagi PPS masih dibuka di Tenom menempatkan 333 mangsa daripada 124 keluarga, manakala dua lagi PPS di Beaufort menempatkan 352 mangsa daripada 95 keluarga.

Keseluruhan mangsa banjir menurun pagi ini kepada 685 mangsa daripada 219 keluarga, berbanding 707 mangsa daripada 323 keluarga pada petang semalam, menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

Related Articles

Stay Connected

156,557FansLike
2,116FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
Iklan

Latest Articles