31 C
Kota Kinabalu
Sunday, May 22, 2022

RUU Antilompat Parti dijangka dibahas Jun ini

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Bagi Menimbang Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, mencapai kata sepakat dalam hampir semua perkara dasar mengenai penggubalan RUU itu.

Keputusan yang dicapai pada mesyuarat jawatankuasa itu di Parlimen semalam, selaras dengan usul mengikut Peraturan Mesyuarat 54(2) dan Penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas di bawah Peraturan 81(1) Majlis Dewan Rakyat yang diluluskan pada sidang Mesyuarat Khas pada 11 April lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata dengan keputusan itu beliau berharap RUU itu akan dibentangkan pada sidang khas Parlimen di bawah Peraturan 11(3) atas budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pertimbangan jemaah Menteri.

Hingga kini, prestasi jawatankuasa itu adalah sangat menggalakkan dengan sokongan semua ahli termasuk kerjasama daripada Parlimen, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara.

“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ini juga sudah mendapatkan pandangan bertulis (written submission) daripada badan bukan kerajaan (NGO), Kumpulan Masyarakat Madani (CSO), parti-parti politik serta pakar akademik berkaitan parameter gubalan RUU ini dan mesyuarat ini turut meneliti pandangan bertulis itu sebelum RUU ini dapat dimuktamadkan.

“Segala prosiding dalam Jawatankuasa Pilihan Khas ini akan direkodkan dalam satu penyata selaras dengan ketetapan Peraturan Mesyuarat 80 (1),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, penyata itu akan dibentangkan kepada Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas untuk mendapat persetujuan dan seterusnya akan dibentangkan serta dibahaskan dalam sidang khas Dewan Rakyat yang dicadang untuk diadakan pada Jun 2022.

“RUU ini dicadang akan dibentangkan dan dibahaskan di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada masa yang akan di tetapkan nanti,” katanya.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen itu dipengerusikan oleh Wan Junaidi dengan ahlinya terdiri daripada Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Lukanisman Awang Sauni, Gobind Singh Deo, Mohamed Hanipa Maidin, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Datuk Ignatius Dorell Leiking.

Jawatankuasa itu akan bermesyuarat semula pada 19 Mei ini untuk meneliti draf RUU yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara berpandukan maklum balas yang diterima menerusi semua keputusan dasar dan perincian tafsiran yang dibuat mesyuarat semalam.

“Berdasarkan usul yang dibentangkan semasa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada 11 April lalu, Jawatankuasa Pilihan Khas ini diberi tempoh masa satu bulan untuk menyediakan penyata.

“Bagaimanapun, jawatankuasa boleh melanjutkan tempoh pembentangan penyata kepada Parlimen mengikut usul yang sama bagi tujuan memperhalusi draf RUU dan Penyata Parlimen,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

156,557FansLike
2,116FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
Iklan

Latest Articles