35 rumah setinggan dirobohkan melalui Operasi Bersepadu

KOTA KINABALU : Sebanyak 35 rumah setinggan dirobohkan dalam Operasi Perobohan Koloni Setinggan Siri 2/2025 yang dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan.

Operasi ini melibatkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), serta Jabatan Ketua Menteri (JKM).

“Dalam operasi tersebut, rumah-rumah tersebut dikenal pasti sebagai penempatan haram yang boleh menimbulkan risiko keselamatan serta menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat.

“Langkah ini bukan sahaja bertujuan membanteras penempatan haram tetapi juga mengelakkan kawasan tersebut daripada menjadi lokasi kegiatan jenayah, penempatan pendatang tanpa izin (PTI), penyalahgunaan dadah, serta pelbagai gejala sosial lain.

“PDRM menegaskan bahawa operasi seperti ini akan terus dijalankan secara berperingkat bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terpelihara,” kata IPD Kota Kinabalu menerusi satu perkongsian di Facebook.

Dalam pada itu, orang ramai turut diseru untuk memberikan kerjasama bagi menjayakan usaha membanteras penempatan haram di Kota Kinabalu.