KOTA KINABAU: Polis mengesan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kes mendatangkan cedera parah menggunakan senjata di sini pada malam Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, kejadian tersebut berlaku di kawasan terbuka Bulatan Bangunan PKNS, di sini, pada kira-kira jam 9 malam.
“Dalam kejadian itu, seorang lelaki berumur 37 tahun yang sedang makan dalam kereta bersama teman wanitanya yang berumur 30 tahun telah diserang oleh tiga lelaki terbabit.
“Salah seorang lelaki tersebut telah menyerang mangsa dengan sebilah kapak yang mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka, tangan dan kaki.
“Mangsa dan teman wanitanya berjaya menyelamatkan diri dan menuju ke Balai Polis Alamesra,” kata beliau.
Menurut Zaidi, mangsa kemudiannya telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth bagi mendapatkan rawatan, manakala teman wanitanya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambah beliau, motif serangan ini dipercayai akibat rasa cemburu.
“Sehubungan dengan itu, pihak polis sedang memburu tiga individu yang merupakan suspek yang terlibat dalam kes ini.
“Tiga suspek yang dikehendaki adalah Winhal Jalali, 37 tahun, bangsa Suluk, yang merupakan bekas suami kepada teman wanita mangsa, Abdel Jalali, 27 tahun, bangsa Suluk dan seorang lagi belum dikenali pasti yang merupakan rakan suspek,” katanya.
Oleh itu, Zaidi berkata, pihak polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian atau individu yang dikehendaki, untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Insp. Muhammad Khaidir Zakaria di talian 014-8019618 untuk membantu siasatan.