KOTA KINABALU,: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan 26 warga asing dalam operasi penguatkuasaan menerusi Ops Sapu, Ops Mahir dan Ops Belanja yang dilaksanakan di sekitar Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Sipitang.
Dalam operasi berkenaan, seramai 70 individu telah diperiksa sebelum 26 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Daripada jumlah yang ditahan, 25 adalah warganegara Filipina terdiri daripada 15 lelaki dewasa, enam perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.
Turut ditahan dua lelaki dewasa warganegara Indonesia serta dua lelaki dewasa warganegara Pakistan.
Menurut JIM Sabah, kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
Kesemua tahanan telah dihantar ke Depot Imigresen bagi proses dokumentasi serta tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
JIM Sabah menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta memelihara keselamatan negara.
