Banjir besar di Tenom punca tidak hadir undi RUU had tempoh PM – Riduan Rubin 

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin berkata beliau tidak dapat menghadiri pengundian Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 pada 2 Mac lalu kerana perlu memberi tumpuan kepada pengurusan banjir besar yang melanda kawasan Parlimennya.

Riduan berkata banjir yang berlaku sejak 25 Februari lalu antara yang paling teruk pernah direkodkan di Tenom apabila menjejaskan 61 kampung dan kira-kira 4,000 Ketua Isi Rumah.

Menurutnya, beliau sebenarnya menyokong cadangan pindaan yang mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun.

Bagaimanapun, keadaan banjir yang kritikal memerlukan beliau berada di kawasan bagi menyelaras operasi bantuan bersama agensi kerajaan dan pasukan sukarelawan.

Beliau berkata bencana itu turut menyebabkan kerosakan harta benda, kemusnahan rumah serta gangguan kepada kemudahan asas sehingga memaksa penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Riduan berkata ketidakhadirannya itu turut dimaklumkan secara rasmi kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri II serta Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Beliau juga memohon maaf atas kesulitan yang timbul dan menegaskan bahawa keutamaan diberikan kepada kebajikan rakyat Tenom yang terjejas akibat bencana.