RANAU : Seramai 24 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan warganegara China, Pakistan dan Indonesia dalam operasi di sini malam tadi.
Menurut kenyataan rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, operasi penguatkuasaan bermula 3.00 petang memeriksa tiga premis di sekitar Ranau.
“Operasi melibatkan 21 anggota serta pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen memeriksa 38 individu.
“Antara kesalahan dikesan termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan melanggar syarat Pas yang dikeluarkan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua PATI ini dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk tindakan lanjut.
“Imigresen Sabah akan terus melaksanakan operasi secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang imigresen negara ini.
“Pihak majikan diingatkan agar tidak menggaji, melindungi atau menyembunyikan PATI kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mereka,” jelasnya.
Menurutnya, mereka disabit kesalahan boleh dikenakan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).