Dekati Pengundi, Jangan Terikut Gaya Pembangkang – Masiung

TONGOD : Ahli parti diingatkan agar jangan bersengketa dengan pihak pembangkang sebaliknya turun padang serta dekati mereka secara harmoni.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, ahli parti diminta berbuat demikian dan jangan terpengaruh dengan tohmahan negatif yang dilemparkan.

“Kita faham perasaan penyokong Gagasan Rakyat di peringkat daerah yang tersentuh dengan pelbagai tomahan melampau ‘cybertrooper’ pembangkang.

“Namun janganlah sampai kita melayani budaya buruk mereka sehingga menimbulkan permusuhan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Tri-Tahunan Gagasan Rakyat Kampung Saub, di sini kelmarin.

Masiung merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, bermusuh dengan pihak pembangkang tidak akan menguntungkan parti, sebaliknya ia perlu ditangkis secara halus dengan memperkuatkan parti di peringkat akar umbi. 

“Kita ingatkan agar ahli Gagasan Rakyat supaya tidak terikut-ikut budaya negatif pembangkang yang hanya bertujuan menghina kerajaan negeri.

“Sebagai penyokong Gagasan Rakyat menjadi payung kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), setiap pemimpin wajar menghormati musuh politik dengan memberi penjelasan harmoni berdasarkan bukti yang tepat,” jelas Masiung.

Mwnurutnya, pembangkang kini mewujudkan pelbagai fitnah yang melampau sehingga mampu menjejaskan perpaduan.

“Pembangkang turut memburukkan imej Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor melalui media sosial.

“Kita dipihak kerajaan menyedari pemimpin pembangkang berasa dengki dengan prestasi Hajiji yang tidak pernah mereka lakukan semasa mereka berkuasa dahulu,” jelasnya.