210 penerima geran tanah melalui PANTAS – Hajiji

KIULU: Sejumlah 327 ekar geran tanah diserahkan kepada 210 penerima dibawah Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajij Noor berkata, sejumlah 12 perkampungan dengan keluasan 205.6 ekar juga telah digazetkan sebagai rizab kampung.

Katanya, kesemua perkara berkenaan diluluskan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN).

“Antara kampung terlibat ialah Kampung Nadau, Bayag, Tiku, Logub, Lingga Baru, Parad, Gonipis Lama, Lingga, Poturidong, Mongkonihab, Tiong Tomburung dan Sukang Baru.

“Kerajaan negeri memahami keperluan rakyat dan komited untuk mengeluarkan geran tanah kepada rakyat Sabah kerana ia melibatkan kehidupan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

“Program PANTAS yang telah dilaksanakan sejak 2011 diteruskan Kerajaan GRS-BN,” katanya di sini hari ini.

Hajiji turut meluluskan peruntukan RM5 juta untuk membina bangunan sekretariat Daerah Kecil Kiulu baharu diatas tanah seluas 2.5 ekar yang terletak bersebelahan dengan Dewan Masyarakat.

“Penduduk Kiulu tidak lagi perlu pergi ke Pejabat Daerah Tuaran atau Daerah Kecil Tamparuli untuk tujuan rasmi seperti perihal berkaitan dokumen dan sebagainya,” katanya.