KOTA KINABALU: Sebanyak 21 geran tanah telah didaftarkan untuk tujuan tapak sekolah yang telah dilaksanakan untuk daerah Semporna.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, daripada 21 geran tanah tersebut, 19 adalah sekolah rendah, manakala dua buah adalah sekolah menengah di mana salah satu daripada geran tersebut berkongsi tapak sekolah rendah.
“Sebanyak lima tapak sekolah masih dalam proses pengukuran atau semakan pelan, manakala enam permohonan tanah untuk tapak sekolah masih diproses oleh Jabatan Tanah dan Ukur (JTU),” katanya di sini hari ini.
Nizam menjawab soalan Jamil Hamzah (Bugaya) bertanya kepada Ketua Menteri berapakah jumlah sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, khususnya di Semporna.
Ini termasuk status tanahnya masih belum selesai penukaran hak milik daripada Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan dan apakah implikasi kelewatan penukaran hak milik ini kepada sekolah.
Nizam berkata, Kerajaan negeri akan memastikan agar pendaftaran geran tanah untuk tujuan tapak-tapak sekolah berkenaan dilaksanakan dengan segera selaras dengan prosedur yang ditetapkan.
“Ini bagi mengelakkan sebarang kemungkinan implikasi yang timbul akibat kelewatan penukaran sesuatu hak milik tanah bagi tapak sekolah Kerajaan Persekutuan, khususnya kesukaran sekolah yang terlibat untuk menerima peruntukan projek pembangunan gantian dan penambahbaikan sekolah tersebut,” katanya.