2 banglo RM5.9 juta Ahmad Zahid, bukan hasil aktiviti haram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, diberitahu pembelian dua banglo bernilai RM5.9 juta menerusi Yayasan Akalbudi milik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan wang hasil aktiviti haram.

Kedua-dua banglo di Country Heights, Kajang itu dijadikan pusat kegiatan keagamaan untuk Yayasan Al-Falah milik keluarga Ahmad Zahid yang diuruskan adiknya, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.

Sebaliknya, peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Ahmad Zahid, berhujah wang itu disumbangkan dua ahli perniagaan, Junaith Asharab iaitu saksi pendakwaan ke-36 dan Mubarak Hussain Akhtar Husin yang juga saksi pendakwaan ke-62.

Katanya, Mubarak Hussin memberitahu beliau menyumbangkan RM2 juta untuk tujuan pembinaan sebuah sekolah di Melaka, manakala Junaith memberi sumbangan bagi pembinaan masjid dan tahfiz, di Bagan Datuk, Perak.

“Kedua-dua mereka (saksi) memberi keterangan di mahkamah dan menyatakan tiada sebarang elemen rasuah.

“Kami berhujah pendakwaan gagal membuktikan RM5.9 juta itu adalah hasil aktiviti haram,” katanya.

Laporan Berita Harian menyebut dalam hujah di akhir kes pendakwaan bagi kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi membabitkan Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Prosiding hujahan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Squareh bersambung esok.