10,000 Pelajar Menerima Manfaat TPNS Selepas Dilancarkan Dua Tahun Lalu – Mohd Arifin

KOTA KINABALU : Lebih 10,000 pelajar menerima manfaat Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bagi membantu menjelaskan yuran pengajian mereka di peringkat Universiti Awam dan Swasta di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, setakat ini kerajaan negeri sudah membelanjakan hampir RM13 juta kepada TPNS sejak ia mula dilancarkan dua tahun lalu.

2. Mohd Arifin ketika berucap di majlis tersebut.

Katanya, ini membuktikan komitmen Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam memberikan perhatian khusus terhadap sektor pendidikan di negeri ini.

“Pelbagai inisiatif pendidikan lain turut diberikan tumpuan oleh Ketua Menteri termasuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) daripada RM50 juta dinaikkan kepada RM125 juta khusus untuk membantu kepada anak-anak Sabah.

“Ini tidak termasuk Biasiswa Yayasan Sabah serta inisiatif pendidikan yang lain berjumlah RM74 juta disalurkan kepada sektor pendidikan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Karambunai, di Dewan Reflesia Politeknik Kota Kinabalu, di sini hari ini.

3. Mohd Arifin memalu hong sebagai tanda perasmian Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Karambunai, di sini hari ini.

Mohd Arifin berkata, dalam tempoh terdekat ini Ketua Menteri akan mengumumkan lagi inisiatif pendidikan yang baharu untuk membantu anak Sabah terutama dalam sektor bidang pendidikan di negeri ini.

“Kerajaan juga memperkenalkan inisiatif baharu iaitu Sumbangan Kegiatan Sekolah Secara One Off (SUKSES) kepada semua sekolah di seluruh Sabah.

“Bantuan disalurkan berjumlah RM 3,000 diberikan kepada setiap sekolah bertujuan menjalankan pelbagai aktiviti atau pembelian lain-lain keperluan sekolah,” jelas Mohd Arifin.

Menurutnya, SENTOSA juga merupakan sumbangan berjumlah RM300 secara ‘one-off’ akan disalurkan kepada setiap mahasiswa belajar di institut pengajian tinggi (IPT) di dalam Sabah.


“Ini adalah antara inisiatif yang dilaksanakan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang sentiasa komited dan prihatin terhadap pendidikan anak-anak kita,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Mohd Arifin berkata, Gagasan Rakyat Bahagian Karambunai yakin akan menyumbang kerusi kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 ini.

“Kita yakin gerak kerja ditunjukkan Ketua Bahagiannya, Datuk Arshad Idris kerap kali turun padang menyelesaikan masalah rakyat di kawasan ini.

“Oleh itu, semua ahli perlu bersiap sedia bekerja keras untuk memastikan calon GRS di DUN Karambunai akan menang pada PRN ini nanti,” katanya.