SANDAKAN: Zon Timur Lebuhraya Pan Borneo antara Kinabatangan dan Telupid akan memberikan kemudahan kepada penggunanya apabila ia siap kelak kata pemangku Pengerusi DAP Sabah Datuk Frankie Poon.
Sambil mengalu-alukan pelancarannya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kinabatangan hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Tangjung Papat itu berharap lebuh raya yang menghubungkan daerah Sandakan, Kinabatangan, Beluran dan Telupid itu dapat disiapkan lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu 2024.
“Saya berharap lebuh raya yang amat diperlukan ini, walaupun tidak lagi sampai ke Kota Kinabalu, akan dapat disiapkan pada awal 2024 atau lebih awal lagi.
“Ketika pandemik COVId-19 sehingga sekarang, saya banyak menghabiskan masa berjalan antara Pantai Timur dan Sandakan menggunakan jalan raya.
Ia bukanlah perjalanan yang baik jika kita perlu bergerak dengan cepat ke Kota Kinabalu. Hampir tiada lampu jalan.
Oleh sebab itu, jalan raya itu boleh menjadi amat berbahaya apabila memandu di waktu malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Poon juga berharap lebuh raya baharu itu nanti akan mempunyai pencahayaan yang baik di sepanjang perjalanan di samping menyediakan tempat berehat yang mencukupi.
Beliau berkata ini tentunya akan dapat membantu industri pelancongan dengan pemandu dapat sampai ke destinasi mereka dalam masa yang paling cepat.
“Saya percaya dalam keadaan ini, ramai penduduk tempatan akan menggunakan jalan raya pada hari minggu untuk menziarahi keluarga, selain melakukan percutian pendek.
“Ia juga tentunya akan membantu ramai bukan penduduk Sabah untuk menyewa kenderaan dan melawati lebih banyak kawasan di pendalaman,” katanya di mana pelancong akan dapat menikmati pengalaman kepelbagaian budaya yang unik di Sabah.
Ketika pelancaran itu, Perdana Menteri berkata projek itu melibatkan tiga pakej iaitu pakej 28, 29 dan 30, sepanjang 58 kilometer dengan kos pembinaan RM877 juta.
Beliau berkata skop projek itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala, pembinaan tiga jambatan baharu, dan satu persimpangan bertingkat.
— BERNAMA