KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu yang memfokuskan pembangunan modal insan belia dalam Belanjawan Sabah 2022 yang akan dibentangkan pada 3 Dis depan.
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata antara inisiatif berkenaan termasuk pemerkasaan latihan kemahiran dalam bidang teknologi, teknikal dan perdagangan melalui Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM).
Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk menambah baik dan meningkatkan keberkesanan strategi serta pendekatan dalam inisiatif yang memfokuskan pembangunan modal insan dalam kalangan belia di Sabah.
“Besar harapan saya agar golongan belia dapat bersama-sama kerajaan untuk menjayakan segala perancangan demi mencapai hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Hajiji berkata kerajaan negeri juga turut memperkenalkan Program Felo Belia Felo Sabah Maju Jaya (Felo SMJ) yang dijangka akan bermula pada Januari tahun depan di bawah kelolaan Kementerian Belia dan Sukan Sabah bersama-sama Sekretariat Hala Tuju Sabah Maju Jaya, Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) serta Majlis Belia Sabah.
Ketua Menteri berkata melalui program itu, felo belia SMJ yang terpilih akan ditempatkan sebagai pelatih dalam agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selama setahun untuk diberi pendedahan dalam pekerjaan termasuk berkaitan pengurusan sesebuah kementerian dan GLC.
Dalam pada itu, Hajiji turut berharap cadangan pelaksanaan Program Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKeBS) dapat diinstitusikan sebagai satu daripada program teras pembangunan modal insan dalam kalangan belia di negeri itu.
“Saya berharap pelaksanaan program rintis ini akan dapat dipantau dengan rapi,” katanya sambil menambah kerajaan akan membantu golongan usahawan belia dan beliawanis yang terkesan secara langsung dengan pandemik COVID-19 melalui skim bantuan dana khusus.
-BERNAMA