Wetrom Bahanda keluar BERSATU, sertai WARISAN

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda dilaporkan keluar daripada Bersatu dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekali gus menyertai Warisan.

Penyelaras KDM Warisan Unity Matunggong, Jominit Kobuhi, berkata Wetrom mengumumkan perkara itu dalam satu majlis bersama penyokongnya di Matunggong, pagi tadi.

“Ya memang betul, dia umum di hadapan penyokongnya di sebuah dewan kebudayaan di Matunggong.

“Saya juga dijemput, tapi saya tidak hadir kerana saya Warisan dan program beliau bukan program rasmi parti, tapi memang itulah yang berlaku (Wetrom umum keluar GRS dan sertai Warisan).

“Apapun kita tunggu pengumuman atau kenyataan rasmi daripada pucuk pimpinan Warisan,” katanya lapor FMT Online hari ini.

Jominit berkata, beliau difahamkan Wetrom turut mengumumkan mahu bertanding di Parlimen Kota Marudu atas tiket Warisan.

“Itu hasrat beliau (Wetrom), kami tiada masalah dengan itu (mahu bertanding di Kota Marudu), tapi pada akhirnya pucuk pimpinan yang akan buat keputusan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengatakan Wetrom yang juga pembantu menteri kepada ketua menteri keluar daripada GRS untuk menyertai Warisan.