WARISAN sahkan bertanding semua kerusi Parlimen Sabah – Shafie

KOTA KINABALU: Parti Warisan (WARISAN) mengesahkan untuk bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah, dan kerusi Parlimen Labuan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata WARISAN akan menetapkan semula (reset) negeri Sabah menerusi PRU-15.

Katanya, ketika ini Parlimen dibubarkan pada waktu negara menghadapi cuaca tidak menentu, beliau menyifatkan PRU-15 sebagai pendekatan untuk memperbaharui keadaan negara, khususnya Sabah.

“Tujuan kita mahu bertanding (di semua kerusi Parlimen Sabah) kerana kita mahu menetapkan semula keadaan, pentadbiran dan cara pengurusan peringkat negeri Sabah,” katanya di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai calon muda dan muka baharu, Mohd Shafie berkata, senarai calon akan diputuskan kelak.

“Satu pendekatan kita ialah memastikan adanya gabungan orang muda dan orang lama. Apa yang penting untuk memastikan kemenangan,” katanya.

Mohd Shafie berkata, WARISAN juga akan meletakkan calon di beberapa kerusi Parlimen di Semenanjung.

“Kita ada kenal pasti beberapa kerusi yang kita akan tandingi iaitu di Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan mungkin di Kelantan satu (kerusi Parlimen) sahaja.

“Kita mempunyai calon pemegang ijazah doktor falsafah (PhD), profesor, doktor yang kita akan tawarkan untuk bertanding dan mereka sangat profesional,” katanya.