SAPP melancarkan jentera PRU15

KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) melancarkan Pusat Operasi Pilihan Raya bagi kawasan Kota Kinabalu dan Sepanggar, di Ibu Pejabat SAPP di Likas, pada petang kelmarin (Selasa).

Sejak penubuhan SAPP pada tahun 1994, kawasan Kota Kinabalu adalah kawasan ibu pejabat sapp bertapak, dan calon SAPP untuk kawasan sepanggar pernah memenangi kerusi tersebut dengan undian tertinggi, kata Stephan Gaimin, penyelaras Pusat Operasi Pilihan Raya.

“SAPP senantiasa bersedia untuk Parlimen Kota Kinabalu dan Sepanggar, justeru sebaik saja pembubaran parlimen diumumkan jentera pilihan raya SAPP diaktifkan serta-merta.

Gee Tien Siong ialah ketua kempen bagi kawasan Parlimen Kota Kinabalu, manakala jentera pilihan raya bagi kawasan Parlimen Sepanggar diselaraskan oleh John Stephen dan Rasni Kassim.

Timbalan Presiden SAPP Datuk Edward Dagul berkata setakat ini beliau berpuas hati dengan progres persiapan pilihanraya.

“Dengan adanya persiapan seperti ini kita dapat memastikan kempen pilihan raya akan datang berjalan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu, Ibu Pejabat SAPP turut memasuki mod kempen PRU15 dengan memasang bendera Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan SAPP.