KUALA LUMPUR: Parti Warisan Sabah (WARISAN) menggesa tawaran dan bentuk kerjasama yang lebih luas diberikan kerajaan kepada parti pembangkang.
Timbalan Presidennya, Datuk Darell Leiking berkata, tawaran yang diberikan kerajaan pada masa ini hanya terhad kepada penyertaan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.
Katanya, pada masa ini tawaran yang diberikan hanya sekadar pelawaan tanpa maklumat lanjut.
“Kami merasakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu teruskan tujuh tawaran yang diberikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kerjasama rentas parti yang pernah ditawarkan berikutan krisis politik,” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau mengulas tawaran penyertaan kepemimpinan pembangkang dalam MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.
Semalam, dalam ucapan sulungnya selepas dilantik Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menawarkan kepemimpinan pembangkang untuk menganggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.
Perdana Menteri berkata, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan termasuk mewujudkan kerjasama rentas parti kerana kemelut politik yang melanda negara menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
Katanya, Yang di-Pertuan Agong sudah menitahkan supaya semua ketua parti politik melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat ketika sesi menghadap baru-baru ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Leiking turut setuju jika usul undi percaya kepada kepemimpinan Ismail Sabri dibentangkan di Parlimen.
“Dalam keadaan sekarang, kedudukan Ismail Sabri juga tidak kukuh kerana majoritinya sedikit saja, jadi perlu keabsahanannya dibuktikan di Parlimen supaya tidak berbangkit lagi isu menggugat kedudukannya di masa depan,” katanya.