Warga KKRS perlu responsif keperluan kerajaan serta kehendak rakyat – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Warga Kementerian Kerja Raya (KKRS) perlu komited menjalankan tugas sekali gus memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi kepada pelanggannya.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ini termasuklah menetapkan sasaran perkhidmatan selamat, berkesan disamping berpaksikan saksama, efisien serta menepati masa perkhidmatannya.

Katanya, sesebuah organisasi kerajaan yang merupakan penggerak utama perkhidmatan awam perlu responsif kepada keperluan kerajaan sekali gus kehendak rakyat secara keseluruhannya.

“Berbekalkan kepada modal insan berkepakaran tinggi serta  profesional merupakan kunci utama kejayaan sesebuah organisasi sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.

“Kita sebagai warga kerja KKRS haruslah memberikan komitmen tinggi dalam menjalankan tugas sekali gus menetapkan iltizam yang tinggi bagi memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada semua lapisan rakyat di negeri ini,” katanya.

Bung Moktar bergambar kenangan bersama penerima APC. Gambar Jay Wahid.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2020 (KKRS) di Bilik Mesyuarat Kinabalu, Jabatan Kerja Raya di sini hari ini.

Bung merupakan Menteri Kerja Raya Sabah berkata, kerajaan mengiktiraf budaya kerja cemerlang, komitmen serta menghargai jasa penjawat awam termasuk pemberian anugerah atau ganjaran.

“Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ini, kita berharap ia akan menjadi motivasi kepada pegawai serta kakitangan untuk terus memberikan komitmen mencapai produktiviti kerja yang berkualiti tinggi,” katanya.

Perkhidmatan awam yang sentiasa dekat dengan rakyat perlu dilihat sebagai satu perkhidmatan yang sentiasa bersih dan menjadikan integriti sebagai teras utama.

“Apabila menyentuh tentang integriti, fokus kita bukan hanya kepada perlakuan rasuah dan salah guna kuasa. Ia juga melibatkan wang ringgit termasuk  satu konsep lebih besar dan lebih meluas…integriti bermaksud kita memberikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya.