Warga emas maut kereta terbabas masuk longkang

PAPAR: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dinaiki bersama dua lagi individu terbabas sendiri ke dalam longkang di Kampung Langsat, Jalan Bukit Manggis, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.21 pagi itu, mangsa berusia 65 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dua lagi mangsa masing-masing wanita berusia 63 tahun dan lelaki berusia 41 tahun dilaporkan selamat sebelum dihantar ke Hospital Papar menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta Proton Iswara yang dipercayai terbabas sendiri.

“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari kenderaan dan memberikan rawatan awal kepada mangsa yang terlibat.

“Mangsa yang meninggal dunia kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi yang dikendalikan BBP Papar dengan kekuatan enam anggota tamat sepenuhnya pada jam 7.21 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.