KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) mengecam kenyataan Senator Filipina, Robin Padilla yang menggesa agar tuntutan terhadap Sabah dibangkitkan semula.
Ketua Pergerakan Wanita PGRS, Datuk Redonah Bahanda berkata, kenyataan itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah bersifat provokatif dan tidak berasas.
Menurut beliau, Sabah merupakan wilayah berdaulat dalam Malaysia yang terbentuk berasaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta kehendak rakyat Sabah sendiri.
Katanya, kedudukan itu turut diperkukuh melalui pengiktirafan antarabangsa dan tidak boleh dipersoalkan sewenang-wenangnya.
Tambah beliau, usaha untuk menghidupkan semula tuntutan tersebut, termasuk cadangan rundingan berkaitan wilayah atau hasil bumi, hanyalah retorik politik sempit.
“Tindakan sebegini bukan sahaja tidak beretika, malah mencabar kedaulatan negara. Sabah bukan untuk dipertikaikan. Sabah adalah milik Malaysia,” katanya.
