Sabah berdaulat, tiada asas hidupkan semula tuntutan Manila – Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan tiada asas untuk menghidupkan semula tuntutan Manila ke atas Sabah seperti yang dibangkitkan seorang senator Filipina baru-baru ini.

Menurut beliau, Sabah adalah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia dan sebarang cubaan mengaitkan isu itu dengan krisis tenaga semasa tidak wajar dijadikan alasan untuk membangkitkan semula tuntutan lapuk.

“Sabah adalah sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia dan tidak patut dipertikaikan.

“Tidak perlu menjadikan perkara ini isu atau menggunakan krisis tenaga semasa untuk menghidupkan semula tuntutan lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Kenyataan itu hadir di tengah-tengah reaksi pelbagai pihak di Sabah yang menolak sekeras-kerasnya cubaan membangkitkan semula isu tuntutan terhadap negeri itu.

Dalam pada itu, Hajiji turut menyeru rakyat terus memelihara keharmonian dan perpaduan agar Sabah kekal aman.

“Harapan kami agar semua orang hidup dalam keharmonian supaya kita dapat terus meraikan semua majlis perayaan dengan aman,” katanya lagi.

Majlis rumah terbuka berkenaan dihadiri kira-kira 20,000 pengunjung dan turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin.

Turut hadir, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag, serta anggota Kabinet negeri.

Sebelum itu, Hajiji bersama Juliah dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Arifin Arif, menyampaikan duit raya kepada golongan asnaf sebelum beramah mesra dengan pengunjung.

Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan termasuk nyanyian Marsha Milan Londoh.