Usahawan Bumiputera digalak terus aktif, kreatif majukan perniagaan

KOTA KINABALU: Usahawaan Bumiputera di negeri ini digalakkan untuk terus aktif dalam perniagaan, termasuk lebih kreatif mengeluarkan produk baharu untuk memenuhi permintaan pasaran.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Wetrom Bahanda, berkata ia adalah persaingan yang sihat untuk usahawan Bumiputera terus maju dalam perniagaan diceburi.

Katanya, penghasilan produk tempatan seperti makanan tambahan atau berasaskan penjagaan kesihatan adalah antara bidang berpotensi untuk dikembangkan.

“Oleh itu kita amat mengalu-alukan syarikat Bumiputera untuk menceburkan diri dalam menghasilkan produk yang melibatkan makanan tambahan, kesihatan dan sebagainya,” katanya.

Mengulas mengenai produk baharu Real Beauty itu, Wetrom berkata pengeluaran kedua-dua produk berkenaan memang sesuai ketika masyarakat hari ini berdepan cabaran dalam menjaga pemakanan dan kesihatan diri.

“Kedua-dua produk ini dikhususkan untuk penjagaan kesihatan terutama dalam mengawal berat badan. Kita mahukan kesihatan tetapi gaya hidup kita tidak sihat, jadi ia produk yang baik untuk hidup sihat.

“Paling penting ia menyumbang kepada kesihatan masyarakat kita. Tahniah kepada Real Beauty yang bersungguh-sungguh menghasilkan produk ini. Ia bukan saja untuk keuntungan syarikat tapi juga masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Rejanah berkata Real Beauty mengambil masa hampir setahun sejak tahun lalu untuk melakukan kajian dan pembangunan produk sebelum menghasilkan kedua-dua produk.

Jelasnya, produk percubaan yang dikeluarkan sebelum ini mendapat maklum balas yang positif dan ia mendorong syarikat itu untuk memasarkan produk berkenaan secara meluas.