KENINGAU : Pemimpin masyarakat khususnya Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) memainkan peranan utama untuk membantu memperjelaskan
semua inisiatif dilaksanakan kerajaan ke peringkat akar umbi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, beliau meminta pemimpin UPPM untuk memberi kerjasama kepada semua wakil rakyat termasuklah pemimpin parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kawasan masing-masing.
Katanya, sebagai mata dan telinga Kerajaan, khidmat pemimpin masyarakat seperti pegawai UPPM dan pemaju mukim amat penting.
“UPPM perlu terus lipatgandakan usaha membantu wakil rakyat dan ketua-ketua bahagian komponen dalam GRS dan Pakatan Harapan (PH).
“Oleh itu amat penting untuk UPPM menjelaskan kepada rakyat apa yang telah dilaksanakan dan bantuan atau inisiatif yang diberikan Kerajaan Negeri dalam tempoh empat tahun,” katanya di sini semalam.
Hajiji berkata, tahun ini adalah tahun pilihan raya, justeru semua pihak bersatu hati agar GRS diberi kepercayaan sekali lagi dalam pilihan raya nanti.
“Kita meminta kepada semua ahli parti komponen GRS termasuk Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) supaya memberi sokongan padu kepada pemimpin GRS terutama kepada mereka yang diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
“Saya tidak mahu ada yang sabotaj atau tidak memberi kerjasama. Jika saya dapat tahu ada ahli terutama dari GRS yang tidak memberi sokongan kepada calon-calon GRS, kita akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya,” jelas Hajiji.
Menurutnya, beliau mahu GRS terus kuat serta bersatu hati untuk memantapkan perpaduan dalam kalangan parti komponen GRS.
“Kerajaan Negeri akan terus menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat, termasuk masalah air yang kerap digunakan sebagai modal oleh pembangkang di negeri ini.
“Pembangkang sering menggunakan masalah seperti air untuk cakap kita sebagai kerajaan gagal. Mereka pun tahu bahawa masalah ini kita warisi sejak dari dulu,” katanya.
Menurutnya, sebagai Kerajaan bertanggungjawab beliau akan berusaha menyelesaikan masalah-masalah ini.