Undi golongan muda menjadi penentu masa depan PRU15- Jimmy

KOTA KINABALU: Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan anak mereka keluar mengundi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU15) akan datang.

Ketua Pergerakan Pemuda Parti Liberal Demokratik (LDP) Sabah, Jimmy Lai berkata, di peringkat ibu bapa atau penjaga ini merupakan satu saluran penting agar mereka dapat menyampaikan mesej undi muda adalah aset penting dalam negara pada PRU15.

Katanya, mereka mesti selalu berkongsi maklumat terkini berkaitan suasana politik di seluruh tanahair sekali gus mengalakkan mereka peka terhadap isu-isu semasa berlaku di negeri ini.

“Kajian mendapati ketika ini golongan anak muda tidak berminat langsung untuk mengambil tahu suasana serta keadaan politik di seluruh negara.

“Perlu diingat anak muda ini sudah secara automatik berdaftar menjadi pengundi sah serta penentu hala tuju kepada keputusan dalam PRU15 akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jimmy berkata, dalam masa sama ibu bapa serta penjaga boleh berkongsi pengalaman mereka dalam mengharungi suasana PRU lalu serta memberi penerangan terhadap perkembangan menjelang PRU15 ini.

“Ibu bapa atau penjaga adalah orang terdekat bersama anak muda dengan meyakinkan undi mereka adalah ‘King Maker’ dalam mencerminkn keputusan dalam PRU15 akan datang,” katanya.

Menurutnya terdapat golongan muda risau sama sekali ketika mengundi dilihat akan merumitkan lagi keputusan pilihan raya apabila mereka tidak tahu parti mana yang patut undi pada PRU15.

Bagi mengelakkan masalah ini Jimmy berkata, sebagai ahli politik yang bertanggungjawab akan menyampaikan mesej kepada lapisan masyarakat tanpa berhenti begitu sahaja.

“Perlu diingat politik bukan dimiliki hanya untuk ahli politik, malah ia sudah berkait rapat dengan kehidupan semua lapisan masyarakat di negara ini.

“Politik bukan dikhaskan kepada orang atasan sahaja….Malah sesiapa pun boleh bersuara serta melibatkan diri sendiri. Tidak kira bangsa, latar belakang pendidikan dan anutan agama,” katanya.

Menurutnya, apa paling penting adalah keikhlasan serta keinginan untuk membantu  mengubah keadaan yang kritikal  sekali gus menjamin kestabilan ekonomi negara di masa depan.

“Kita sentiasa mengutamakan kepentingan negara menjadi asas utama dengan berusaha membantu dalam menstabilkan politik untuk menarik kehadiran pelabur datang ke negara ini,” katanya.