4,332 individu kini nikmati bantuan YKS

KOTA KINABALU: Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) menyalurkan bantuan kepada  4,332 individu memerlukan sejak penubuhannya pada September tahun lalu di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, cadangan menubuhkan YKS ekoran pandemik Covid-19 menyebabkan ramai menderita serta memerlukan bantuan.

Katany, kerajaan negeri melalui Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) menubuhkan YKS bagi membantu menggerakkan kebajikan rakyat di negeri ini.

“Kita mahu yayasan ini diuruskan secara telus mengikut peraturan serta undang-undang mentadbir sebuah yayasan.

“Penerima bantuan YKS ini merangkumi mangsa bencana alam, keluarga dan murid sekolah. Bantuan juga disediakan untuk kes kecemasan yang tidak dilindungi oleh pihak lain termasuk organisasi bantuan termasuk agensi kerajaan,” katanya di sini hari ini.

Dalam pertemuan itu, Hajiji diberikan taklimat Pengarah YKS, Rugayah Awang Besar mengenai aktiviti dan perancangan yayasan itu, antaranya penubuhan Teratak Prihatin YKS, sebuah rumah tumpangan berkonsepkan rumah tumpangan untuk orang-orang miskin dari daerah terpencil tinggal sementara semasa melawat saudara-mara mereka di hospital di sini.

Rumah yang sudah siap kira-kira 75 peratus itu mampu memuatkan 20 orang pada satu-satu masa.

Hajiji kemudiannya turut menyaksikan penyerahan sumbangan RM40,000 daripada Kelab Rekreasi, Kebajikan dan Sukan (KHKS) Kementerian Kewangan Negeri kepada YKS.

Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Sofian Nair kepada Rugayah.