UMS terima sumbangan dana penyelidikan RM2 juta

KOTA KINABALU: Sumbangan dana penyelidikan sebanyak RM2-juta yang diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pagi tadi disambut dengan ucapan syukur dan terima kasih oleh pengurusan tertinggi Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr Kasim Mansor berkata, sumbangan tersebut amat bermakna dalam meningkatkan lagi hasil penyelidikan berimpak tinggi terutama dalam usaha menangani dan mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu tempatan yang dihadapi rakyat.

“Semasa rombongan UMS membuat kunjungan hormat kepada Yang Amat Berhormat Datuk Hajiji pada Rabu lalu, saya ada menyatakan bahawa UMS akan terus memperhebatkan aktiviti penyelidikan, antaranya membuat kajian bagi memacu sektor pertanian, perindustrian, dan pelancongan selain melahirkan modal insan yang berdaya saing demi kesejahteraan rakyat.

“Saya tidak menyangka dan berasa terharu apabila Ketua Menteri mengumumkan sumbangan dana dalam jumlah yang cukup besar sebagai sokongan terhadap usaha ini.

“Bagi pihak UMS, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri, khususnya kepada Yang Amat Berhormat Datuk Hajiji,” katanya.

Kasim berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Hajiji yang juga Pro Canselor UMS mengumumkan sumbangan dana penyelidikan tersebut ketika berucap pada Majlis Ikrar dan Aku Janji sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2022/2023 di Dewan Canselor, di sini, pagi tadi.

Menurut Kasim, UMS juga akan sentiasa seiring dan menyokong penuh terhadap Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadi teras dan hala tuju pentadbiran Kerajaan Negeri.

“UMS sentiasa bersedia memberi khidmat kepakaran dan pandangan untuk bersama-sama menjayakan pelan SMJ ini yang sangat signifikan dalam meningkatkan pembangunan dan taraf hidup rakyat Negeri di Bawah Bayu.

“Sebagai Naib Canselor, saya akan memastikan hubungan baik yang terjalin antara UMS dan Kerajaan Negeri akan terus mekar merangkumi pelbagai aspek bidang kerjasama ke arah Sabah yang lebih maju, aman dan sejahtera,” katanya.

Untuk rekod, Kasim merupakan anak jati Sabah yang baharu dilantik sebagai Naib Canselor UMS yang ke-7 berkuatkuasa 3 Oktober lalu.