UMS terima kunjungan hormat daripada Bank Muamalat, bincang kolaborasi strategik

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima kunjungan hormat daripada Bank Muamalat Malaysia Berhad(BMMB), di sini, hari ini.

Kunjungan diketuai Naib Presiden Kanan Operasi Perbankan BMMB dari Ibu Pejabat Kuala Lumpur, Muhamad Razuan Ab Rahman, Ketua Jabatan Syariah BMMB, Mohd Izuwan Mahyudindan Pengurus Cawangan BMMB Sabah, Albert Gololing.

Antara yang telah dibincangkan termasuklah kolaborasi strategik yang boleh dijalankan antara kedua belah pihak ke arah membantu pelajar-pelajar B40 UMS, selain cadangan penglibatan Bank Muamalat dalam projek-projek pemindahan ilmu yang dilaksanakan oleh pihak universiti kepada komuniti setempat.

Disamping itu, perbincangan turut menjurus kepada cadangan penganjuran program perkongsian ilmu dalam aspek kesihatan kewangan daripada Bank Muamalat kepada warga universiti.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Prof. Dr Rasid Mail menyambut baik hasrat pihak BMMB.

Ujarnya, cadangan kolaborasi itu sangat bertepatan terutama dalam usaha membantu meringankan beban pelajar-pelajar B40.

Kita berterima kasih atas kunjungan, cadangan dan hasrat pihak Bank Muamalat, dan sesungguhnya kita sangat mengalu-alukan kerjasama strategik seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Mansor ketika dihubungi turut menyatakan keterbukaan terhadap kolaborasi BMMB – UMS.

“Kerjasama seumpama ini bukan sahaja memperkasa institusi pengajian tinggi dan pihak industri tetapi yang lebih penting ia memberikan impak positif kepada manfaat komuniti tempatan di Sabah.

Sumbangan dana dari pihak industri seperti sektor perbankan ini untuk tujuan peningkatan kesejahteraan komuniti amat dialu-alukan oleh pihak Universiti.

Ini adalah seiring dengan program IPT for Society @ Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di mana Universiti Awam giat melaksanakan projek-projek pemindahan ilmu melibatkan komuniti di luar bandar,tambahnya lagi.

Penyelaras kunjungan hormat BMMB, Dr Jakaria Dasan, turut berkongsi mengenai program pemindahan ilmu yang diselaraskan oleh UMS menerusi peranan Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat.

Menurut beliau, UMS mempunyai pengalaman dalam mengurus dana projek pemindahan ilmu yang membantu meningkatkan kesejahteraan hidup komuniti menerusi pemindahan ilmu yang relevan dengan kepakaran ahli-ahli akademik di UMS yang diperlukan oleh komuniti.

Sistem yang digunakan berupaya memastikan pemindahan ilmu dilakukan dengan efektif dan lestari. Hal inilah yang telah menarik perhatian Bank Muamalat Malaysia Berhad untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan pihak UMS,” katanya.