UMS Sertai Pameran Sempena Minggu Kerjaya SMK Arshad

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK) menyertai pameran sempena Minggu Kerjaya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arshad, di sini bermula Isnin.

Program yang diadakan sehingga Khamis itu antara lain bertujuan bagi memberi pendedahan awal berkaitan peluang dan hala tuju kerjaya kepada para pelajar di sekolah tersebut.

Pengarah PPSKK UMS, Prof. Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim berkata, PPSKK sentiasa menyokong usaha-usaha seumpama ini bagi menyuntik semangat para pelajar untuk terus menanam tekad melanjutkan pengajian hingga ke menara gading.

“Pada pameran ini, kita telah memberikan penerangan berkaitan program-program yang ditawarkan di UMS kepada pelajar.

“Kita juga telah memberi panduan tentang syarat-syarat kemasukan selain memberi galakan kepada mereka untuk sentiasa bersemangat melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat yang tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program selama empat hari itu dihadiri lebih 550 pelajar tingkatan4, 5 dan 6 SMK Arshad.

Turut sama menjayakan minggu kerjaya berkenaan ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah, Pusat Giat Mara, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), PETRONAS dan beberapa Kolej dan Institusi Pengajian Awam dan swasta.

Sementara itu, Fiffy turut merakamkan ucapan terima kasih kepada SMK Arshad atas jemputan dalam pameran yang disifatkannya amat bermanfaat kepada para pelajar.

“Tahniah kepada pihak sekolah, bagi pihak PPSKK UMS, kita sentiasa memberi kerjasama penuh terhadap program-program seperti ini yang mampu memberi motivasi kepada pelajar mencorak hal tuju masa depan dalam bidang pendidikan dan kerjaya,” ujarnya.